Kuching City naik kedudukan ketiga

KUCHING: Kuching City FC (KC FC) terus membuktikan kemampuan pasukan selepas mencatat kemenangan tipis (2-1) menentang Kelantan FC di Stadium Negeri, semalam.

Formasi 4-4-2 yang dilaksanakan oleh Irfan Bakti ternyata membuahkan hasil biarpun aksi pada babak pertama sedikit suram akibat beberapa peluang jaringan tidak menemui penyudah baik.

Bermula dengan bola berjaya dirampas oleh pemain tengah Amir Amri Salleh ketika bergelut di kawasan kotak penalti lawan namun tendangannya bagaimanapun melepasi palang gol.

Amir sekali lagi cuba mengasak bahagian pertahanan menerusi percubaan dari luar kotak penalti namun agak tersasar ke bahagian kiri gawang.

Satu lagi peluang untuk KCFC mendapatkan jaringan pertama menerusi sepakan deras oleh Gabryel Monteiro namun berjaya ditepis oleh Fikri Che Soh.

SEMANGAT…Pemain KCFC meraikan jaringan kedua hasil tendangan lencong Amir Amri (tengah) dari luar kotak penalti terus ke gawang gol lawan

Kesungguhan KCFC mencari gol pertama pada babak kedua akhirnya terlaksana setelah Abu Kamara berjaya menanduk kemas bola hantaran Gabryel pada minit ke-63.

Percubaan Amri pada minit ke-67 di luar kotak penalti selepas itu turut membuahkan hasil selepas bola lencongan terus masuk ke gawang lawan.

Ia sekali gus menyaksikan KCFC mendahului dengan jaringan 2-0 sebelum minit ke-70.

Kelantan FC berjaya menjaringkan gol tunggal pada masa tambahan akhir (90+3) menerusi pemain gantian Asraff Aliffuddin, menjadikan keputusan akhir perlawanan kekal (2-1).

Hasil perlawanan ke-17 Liga Perdana itu menjadikan KCFC menduduki tempat ketiga liga dengan meraih 33 mata secara keseluruhan.

Manakala Kelantan FC di tempat kedua dengan mata sebanyak 33 mata.

Suara Sarawak