KUCHING: Lima jalan utama di sekitar kawasan Padang Merdeka akan ditutup bagi memberi laluan kepada Kuching Marathon 2022 yang akan berlangsung pada Ahad (2 Oktober).

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, penutupan jalan-jalan terbabit akan dilaksanakan bermula pada Sabtu (1 Oktober), jam 11 malam.

“Antara yang terlibat adalah Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pearl, Jalan Barrack, dan Jalan Wawasan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

KERJASAMA…ACP Ahsmon Bajah (tengah) menunjukkan kenyataan penutupan beberapa jalan utama di sekitar Padang Merdeka.

Tambahnya, sebanyak 11 laluan akan ditutupkan pada hari sama bermula jam 11.30 malam sehingga 10 pagi (2 Oktober).

“Ia termasuk, persimpangan jalan Main Baazar atau Lebuh Wayang, Jalan Gambier, Jalan Borneo, Jalan Abell ke Jalan Padungan, Jalan Padungan dari arah bulatan Sri Aman, Lampu Isyarat RTM, Jalan Haji Taha, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Masjid, Tugu Kuching, dan lampu isyarat St. Mary menghala ke lebuh wayang dan Jalan McDougall,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menasihati para pengunjung yang bakal hadir ke lokasi untuk tidak meletakkan kenderaan di sepanjang laluan perlumbaan.

TUTUP…Pelan penutupan dan lencongan jalan sempena Kuching Marathon 2022.

“Adalah dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di Taman Reservior, Taman Budaya, Green Hill, bangunan Saujana, medan kereta Top Spot, Dewan Suarah Kuching dan medan letak kereta padang Jublee MBKS,” jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Dijangka seramai 9,500 peserta dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian dalam acara Kuching Marathon yang terdiri daripada empat kategori iaitu Full Marathon (42km), half (21km), 10km, dan Fun Run (5km).

Suara Sarawak