Latihan Carilamat (Sarex) di perairan Tanjung Po hingga Muara Tebas

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak bersama pelbagai agensi menjalankan Latihan Carilamat (Sarex) Level 3 bermula hari ini sehingga 8 September.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak Kapten Maritim Yousry Yaali berkata, latihan tersebut membabitkan 21 agensi yang akan melibatkan pelbagai aset agensi diatur gerakkan dari laut serta udara di sekitar perairan Tanjung Po hingga Muara Tebas.

Katanya, tujuan latihan Sarex diadakan bagi menerangkan pelaksanaan dan pengendalian carilamat di Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching.

“Di samping, menguji prosedur tetap mencari dan menyelamat supaya dapat meningkatkan persefahaman, keupayaan untuk mengkoordinasi dan hubungan kerjasama antara Maritim dan agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di perairan Sarawak.

Yousry (dua kiri) bercakap pada sidang media sempena latihan carilamat (Sarex), turut kelihatan, ASP Operasi Risik Polis Marin Asisten Superintendan Wan Sazaly Jaafar (kiri) dan Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak Henderi Ardimansyah (kanan) dan agensi yang lain.

“Selain itu untuk mengenal pasti aset-aset sedia ada dan kepakaran khusus yang dimiliki oleh setiap agensi dalam melakukan operasi carilamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Sarawak, Kompleks Maritim Tun Salahuddin (KOMTAS), di sini hari ini.

Yousry berkata, latihan Sarex ini dibahagikan kepada empat fasa dan tiga pasukan iaitu laut, udara, darat dan pasukan pemerhati.

Katanya, senario latihan adalah bot pemancing membawa 15 pemancing mengalami kebakaran ketika dalam perjalanan pulang ke jeti Kampung Geobilt.

Jelasnya, posisi lokasi kejadian bagi latihan ini dilaksanakan lebih kurang 3.7 batu nautika dari Tenggara Tanjung Po dan lapan batu nautika dari Muara Tebas.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang awam termasuk komuniti maritim agar tidak panik dan menjauhi kawasan latihan serta memberi laluan sewajarnya sehingga latihan tamat dijalankan pada 7 September, jam 4 petang.

Suara Sarawak