Lelaki dipenjara, beli rokok guna kad debit milik warga asing

KUCHING: Seorang lelaki berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menyalah guna kad debit ATM milik seorang lelaki warga asing untuk membeli rokok berharga RM17.40 di sebuah kedai serbaneka di sini.

Tertuduh Fitri Awliya Mohamad mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kad debit milik warga Netherland berusia 31 tahun untuk membeli rokok di sebuah kedai serbaneka 24 jam, Jalan Satok, sekitar jam 2.44 pagi, 11 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 11 September lalu mangsa telah membuat laporan polis tentang dompetnya yang tercicir di sebuah pusat hiburan di Jalan Wayang.

Pada 13 September, mangsa sekali lagi membuat laporan polis apabila mengetahui kad debitnya digunakan untuk membuat pembelian barang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Satok selepas menerima satu notifikasi dalam telefon pintarnya tentang pemotongan pembayaran dalam talian.

Tertuduh akhirnya berjaya diberkas oleh pihak polis pada 22 September lalu di Jalan Datuk Paduka Sitom sekitar jam 2.15 petang.

Hasil siasatan, semakan di kedai serbaneka tersebut mendapati tertuduh telah masuk ke kedai tersebut membeli sekotak rokok jenama Dunhill menggunakan kad bank mangsa.

Selain itu, tertuduh juga mengetahui tentang dompet pengadu kerana terdapat lesen memandu dan tidak mengembalikan dompet terbabit malah menggunakan kad ATM mangsa untuk membeli rokok.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak