BAU: Polis menahan seorang lelaki kerana menyebabkan kematian seorang warga emas setelah bergaduh di hadapan sebuah kedai makan di Siniawan Villa, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 50 tahun pada jam 5.57 petang 4 September lalu, memaklumkan pakciknya telah dipukul seorang lelaki.

Katanya mangsa yang cedera kemudian dibawa ke HUS untuk rawatan.

“Mangsa berusia 60 tahun kemudian dilaporkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 4.34 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau menahan suspek di rumahnya selepas mencederakan seorang lelaki dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai makan di Siniawan Villa, Bau.

Susulan itu, katanya kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Poge berkata sejurus menerima laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau menahan suspek berusia 33 tahun pada jam 10.12 malam.

Katanya turut dirampas satu kerusi plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

Beliau berkata suspek kini direman bermula 5 hingga 9 September ini bagi membantu siasatan.

Suara Sarawak