PADAWAN: Seorang lelaki meninggal dunia apabila dihempap ‘bucket’ lori 10 tan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 7.21 pagi hari ini, berlaku di rumah mangsa di No 21 Kota Padawan, Batu 10 Jalan Penrissen di sini.

“Pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah kerana tiada sebarang unsur kesan pergelutan dilihat di lokasi.

“Menurut isteri mangsa, setiap subuh dia akan membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan sebelum digunakan untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan mangsa yang tersepit di bawah ‘bucket’ lori 10 tan ketika melakukan pemeriksaan ke atas lori itu.

Abang Zainal berkata berdasarkan keterangan adik mangsa pula, dia dipercayai tersentuh kabel hidraulik semasa membuat pemeriksaan menyebabkan ‘bucket’ lori itu turun menghempapnya.

Katanya ‘chock’ keselamatan lori berkenaan juga tidak dipasang ketika mangsa membuat pemeriksaan.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Chin Hung Joon, 38 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suara Sarawak