Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melupuskan harta curi.

Tertuduh Fauzul , 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan melupuskan harta curi iaitu sebuah beg tangan, lesen kereta dan beberapa kad ATM serta kad kredit milik seorang wanita berusia 45 tahun di Lorong Stutong 2C, di sini, sekitar jam 4.30 petang, 1 September lalu.

Menurut fakta kes, pada 23 Ogos lalu, semasa pengadu sedang memandu di Lorong Stampin tiba-tiba dilanggar oleh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki (tertuduh).

Pengadu kemudian keluar dari kenderaannya untuk melihat keadaan lelaki terbabit. Namun, tertuduh terus meragut beg pengadu menyebabkan kerugian sekitar RM1,500.

Pihak polis berjaya menahan tertuduh dan dia sendiri telah menunjuk tempat membuang barang kes selepas kejadian meragut mangsa.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membuang barang terbabit di kawasan semak berdekatan sebuah lorong di Stutong dan pengadu mengesahkan barang-barang terbabit adalah miliknya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak