Pengerusi Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang

SIBU: Pelajar lepasan SPM dan STPM digalakkan untuk menyertai Pameran Pendidikan Siri kedua anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) yang akan berlangsung di Dewan Komuniti Sibu Jaya, bermula 16 hingga 17 September ini.

Pengerusinya Wellie Henry Majang berkata, program tersebut bertujuan menyampaikan maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan khususnya kepada pelajar kawasan pedalaman.

Beliau berkata, penganjuran program antara usaha pihaknya untuk mendedahkan kepada graduan tentang sistem pendidikan negara kini dengan cabaran ledakan teknologi dan revolusi digital.

“Sistem pendidikan negara hari ini yang berhadapan dengan cabaran yang besar memerlukan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungannya terus relevan. 

“Ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua pihak demi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, strategi program ini amat penting dalam persediaan terhadap perubahan pendidikan dan tuntutan kerjaya yang sering mengutamakan keseimbangan dalam kedua-dua perkara tersebut.

Jelasnya, usaha ke arah itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan termasuk menyediakan pelbagai pelan pembangunan dalam pelbagai aspek merangkumi peranan belia dalam industri pelancongan, pemasaran, pemantapan kebudayaan, kesenian pelbagai etnik dan pembangunan ekonomi di Sarawak.

Tegas Wellie, para graduan turut diingatkan untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif.

“Mereka harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk mendapat jawatan yang setaraf dengan kelulusan yang mereka perolehi,” ujarnya.

Suara Sarawak