KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak United FC (SU FC) S. Balachandran tetap berbangga meskipun anak-anak buahnya gagal memperoleh sebarang mata ekoran kekalahan tipis (3-2) menentang Negeri Sembilan FC di gelanggang lawan malam tadi.

“Kita gagal untuk membawa pulang sebarang mata walaupun aksi diperaga pemain sepanjang perlawanan tampak baik.

“Namun segalanya tidak memihak kepada kami,” ujar Balachandran kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Bala, aksi seimbang berjaya diperaga anak-anak buahnya pada babak pertama. Berbanding babak kedua menyaksikan para pemain sedikit hilang fokus.

“Kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi percubaan dilakukan gagal untuk menembusi gawang pelawat.

“Saya percaya sekiranya jentera serangan berjaya menghasilkan gol, pasti keputusan sebaliknya berlaku,” tambah Bala lagi.

Dua gol Sarawak United dijaringkan oleh Raja Imran Shah Raja Amin minit ke-30 dan Nur Shamie Iszuan Amin minit ke-86.

Manakala, tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Gustavo Almeida Dos Santos minit ke-17 dan 67 serta Matheus Alves Leandro minit ke-80.

Kekalahan tersebut mengekalkan Sarawak United di tangga kedua tercorot, menggumpul 14 mata selepas mengharungi 18 perlawanan setakat ini.

Suara Sarawak