PASUKAN dari Sarawak yang menyertai Pameran ADEX 2022

KUCHING: Lokasi aktiviti selam skuba Sarawak khususnya di kawasan Miri menerima sambutan memberangsangkan dalam komuniti Singapura pada Pameran Selaman Asia (Adex) 2022.

Pameran yang berlangsung pada 16 hingga 18 September di Sands Expo and Convetion Centre itu dijangka menarik penyertaan penyelam di seluruh dunia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (Statos), pada hari pertama acara itu, reruai Dive Sarawak Borneo menjadi tumpuan pengunjung untuk meneroka pengalaman aktiviti selaman unik yang ditawarkan di Sarawak.

“Dengan adanya penerbangan terus antara Singapura dengan Miri menerusi Scoot dan AirAsia, terdapat beberapa pakej istimewa menyelam pada hujung minggu ditawarkan untuk melawat beberapa daripada 40 tapak menyelam hebat di luar pantai Miri,” kata kenyataan itu.

Pengasas Pengarah Minda Travel, Co-Co Dive dan rumah persinggahan Cocohouse Diver Ian Kuek berkata, Singapura sentiasa menjadi pasaran penting bagi pihaknya dan berharap dapat meningkatkan permintaan penyelam Singapura yang datang ke Miri untuk aktiviti menyelam hujung minggu.

“Miri adalah tempat yang sesuai untuk berehat kerana mempunyai pelbagai tarikan termasuk kapal Kenyalang yang terkenal.

“Sejajar dengan kedudukannya yang terletak di pelantar minyak yang dinyahaktif, kawasan ini merupakan salah satu daripada 10 tapak menyelam teratas di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Statos, Putrie Rozana berkata terdapat banyak potensi untuk Miri berkembang dari segi pelancongan.

“Statos amat berminat untuk bekerjasama dengan pengendali selaman tempatan yang lain untuk menerokai pasaran ini.

“Langkah ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura untuk menerokai pelbagai sumber yang ditawarkan di Sarawak,” katanya lagi.

Suara Sarawak