MUKAH: Mempunyai impian menggunung untuk menjadi seorang arkitek berjaya dan boleh membantu Sarawak menjadi sebuah negara maju.

Malah beliau mahu membina bangunan tertinggi di dunia yang bertapak Sarawak.

Ia adalah satu impian yang mungkin luar jangkaan, namun itulah antara impian Mohd Hamzah Bakawi, 22, yang merupakan penerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Mukah yang ke-14.

Katanya lagi dia berasa sangat bersyukur diberikan anugerah berkenaan selain turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Ketua Jabatan serta pengurniaan Diploma Kejuruteraan Awam.

Berkongsi rahsia kejayaan, Hamzah menjelaskan terdapat tiga perkara yang sentiasa disemat dalam dirinya apabila bergelar pelajar di Politeknik Mukah selama tiga tahun di sini.

HAMZAH ditemani ibu dan ayahnya menerima Anugerah Pengarah pada Konvokesyen Politeknik Mukah ke-14.

“Sentiasa titipkan doa kepada ibu bapa, sentiasa bersyukur dan dekat dengan agama.. itu kunci kejayaan saya seperti hari ini,” jelas Hamzah yang kini turut dikenali sebagai seorang usahawan ikan masin dari Kampung Masjid Daerah, Bintulu.

“Saya bangga kerana dapat mewakili semua graduan pada majlis konvokesyen pada kali ini.

“Pastinya individu penting kepada kejayaan ini ialah ibu bapa saya, semua pensyarah dan semua rakan-rakan serta sahabat saya di Politeknik Mukah ini,” katanya.

Jelasnya lagi penglibatannya dalam pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum yang dianjurkan di peringkat politeknik dan peringkat antarabangsa merupakan detik bersejarah dalam hidup untuk bergiat aktif Mahu bina bangunan tertinggi di dunia menjelaskan dalam aktiviti kesukarelawan.

Pastinya dia tidak menyesal memilih Politeknik Mukah sebagai pusat kemahiran TVET yang mempunyai nilai tersendiri.

“Politeknik ini lain daripada institusi lain, ia dapat mendidik pelajar dengan cara yang tersendiri, sebab itu munculnya hastag #pmugemilang

“Sebelum ini saya sangat aktif dalam pelbagai jenis aktiviti, antaranya bidang kesukarelawan dan saya bermula sejak di peringkat politeknik sebagai krew, dan AJK untuk pelajar baharu.

“Keluar sahaja dari Politeknik saya terlibat dalam Kesukarelawan Rakan Muda Bintulu serta Sukarelawan Vaksin peringkat kebangsaan dan banyak lagi,” katanya.

Berkat ilmu yang diperoleh dari Politeknik Mukah kini beliau berjaya membangunkan jenamanya, iaitu Hamzah Bakawi International yang kini aktif menjual produk ikan masin dari Bintulu dan ke seluruh Sarawak.

“Minat saya ke arah keusahawanan dibangkitkan lagi oleh Unit Keusahawanan Politeknik Mukah sebab sebelum ini banyak aktiviti di peringkat politeknik diadakan

“Hasilnya sekarang saya dapat daftar satu perniagaan di bawah nama Hamzah Bakawi International, dengan menjual produk ikan masin.

“Bagi perniagaan ini produk utama ialah ikan masin didaftarkan pada 2021 selepas pandemik, kerana sebelum pandemik tidak sempat daftarkan.

Jadi sekarang produk ikan masin ini memasuki pasaran sekitar Sarawak.

“Ini adalah satu perniagaan daripada ahli keluarga… saya besarkan lagi menggunakan ilmu yang saya pelajari dari Politeknik Mukah ini,” ujarnya.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan produk ikan masin jenama Hamzah Bakawi International boleh ikuti Facebook “Hamzah Bakawi” untuk tempahan.

PRODUK ikan masin melalui jenama Hamzah Bekawi International kini memasuki pasaran Sarawak.

Suara Sarawak