Mayat Aziz Yusup dijumpai

SARIKEI: Pasukan penyelamat hari ini, akhirnya menemui mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba mendapatkan perahunya yang dihanyut arus pada Selasa lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mayat Aziz Yusup, 43, dijumpai pada radius kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan tenggelam pada jam 5.30 petang tadi.

“Kita menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis dan susulan penemuan itu, Ops SAR ditamatkan pada jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tedahulu, mangsa dilaporkan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan perahunya yang terlepas tali daripada dihanyutkan arus sungai.

Bagaimanapun, cubaan mangsa gagal apabila dirinya hilang dibawa arus.

Operasi pencarian mangsa turut disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Bintangor, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan penduduk kampung.

 

Suara Sarawak