Gambar hiasan

KONFLIK yang berlaku di Ukraine cukup merunsingkan malah seakan-akan tiada kesudahan apabila Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan gerakan tenteranya yang terbesar ke atas negara itu.

Memetik laporan berita, Putin dalam ucapannya di televisyen baru-baru ini turut memberi amaran sekiranya mereka diperas ugut Barat berhubung isu nuklear, mereka menggunakan segala kekuatan senjata mereka.

Katanya, jika diancam, Rusia akan menggunakan semua cara yang ada untuk melindungi rakyatnya.

Beliau turut menandatangani
perintah bagi gerakan separa anggota tenteranya, sekali gus meningkatkan lagi konflik.

Matlamatnya adalah untuk membebaskan wilayah Donbas di timur Ukraine dan kebanyakan penduduk di wilayah di bawah kawalan Rusia tidak mahu diperintah oleh Kyiv.

Kata Putin, gerakan mobilisasi sebahagian rizab tenteranya yang berjumlah dua juta orang adalah untuk mempertahankan Rusia dan wilayahnya, dan mendakwa Barat mahu memusnahkan Rusia serta tidak mahu keamanan di Ukraine.

Tindakan Putin semestinya mengundang kecaman pemimpin dunia terutamanya Barat dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS, Joe Biden paling lantang mengecam Putin dan menyifatkan Rusia melanggar peraturan antarabangsa tanpa rasa malu apabila menceroboh Ukraine.

Malah beliau turut menyatakan komitmen menyalurkan lebih banyak bantuan makanan dan menyokong pertambahan kerusi dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk negara membangun.

Sementara Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan, dunia perlu memberi ‘tekanan maksimum’ terhadap Putin. Keputusannya ‘akan terus meminggirkan Rusia’, manakala Kesatuan Eropah (EU) akan mengadakan mesyuarat tergempar di New York bagi membincangkan kenyataan Putin.

Tidak pasti apa yang bakal berlaku pada persidangan G20 yang bakal diadakan di Bali, Indonesia November nanti kerana pemimpin dua negara iaitu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bertemu empat mata dengan Putin.

Presiden Indonesia, Joko Widodo pada lawatannya ke kedua-dua negara pada Julai lalu bersedia menjadi jambatan komunikasi antara Rusia dan Ukraine dalam menyelesaikan konflik yang berlarutan sejak Februari.

Tidak pasti sama ada Zelensky mahupun Putin hadir ke persidangan G20, tambahan kini Putin semakin dipulau Barat daripada perihal ekonomi seperti mengehadkan harga minyak Rusia dan larangan import barangan mewah Rusia.

Yang pasti, pada pertemuan itu, pastinya dunia mahu keduadua negara itu mencapai kata sepakat untuk berdamai ketika ekonomi dan inflasi nyata membelenggu dunia saat ini.

Meskipun musim sejuk belum lagi tiba, namun masyarakat dunia sudah merasai impak konflik dua negara tersebut.

Kita dapat lihat pada hari ini, semuanya serba mahal dalam perbelanjaan barangan keperluan harian seperti bahan makanan mentah selain harga baja, kos logistik dan jurang sumber manusia.

Pun begitu, masyarakat di sini seperti teruja apabila mendengar akan perkembangan terkini yang berlaku antara Ukraine-Rusia walhal poket sendiri kering akibat masalah inflasi dunia.

Dalam konteks ini, tidak perlu menzahirkan sokongan kepada mana-mana pihak atau blok dunia mana sekalipun, hanya perlu berdoa agar ia tidak berpanjangan.

Suara Sarawak