ROMPIN: Dawid Mocke membuktikan statusnya selaku juara dunia empat kali apabila memenangi perlumbaan peringkat pertama kategori utama dalam Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 hari ini.

Bersaing dalam kategori Open International Single Ocean Race yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk juara keseluruhan, jaguh dari Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan sejauh 14 kilometer di Pantai Hiburan Rompin dengan merekodkan masa 1’00: 18.29s.

Namun, peserta Malaysia Aimi Ayumi Azwan mencipta kejutan dalam acara utama ini apabila menduduki tempat ketiga bagi kategori wanita.

Perlumbaan peringkat pertama hari ini berlangsung dalam cuaca baik dengan keadaan agak mendung dan kadangkala hujan renyai.

Keadaan laut yang tenang juga membantu para pelumba untuk mendayung laju, terutama Mocke yang mencatat kelajuan lima kilometer sejam.

Bagaimanapun, Mocke perlu berwaspada dengan peserta di belakangnya apabila dia hanya berada kira-kira satu saat di hadapan pemenang tempat kedua Jenkinson Kent dari Australia yang mencatat masa 1’00:19.67s diikuti rakan senegaranya yang juga bekas naib juara dunia bawah 23 tahun, MacKenzie Hynard dengan masa 1’01:37.18s.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan kesungguhan dalam perlumbaan yang masih baharu bagi mereka.

“Malah, sentiasa sahaja ada seorang Aussie (peserta dari Australia) yang menjadi pencabar kuat, apa yang boleh saya katakan ialah saya akan cuba memegang kedudukan pendahulu selama yang boleh,” katanya pada sidang akhbar selepas perlumbaan tersebut.

Kent, 25, pula mengakui terkejut dengan pencapaiannya hari ini.

“Saya harus mengakui saya sendiri agak terkejut. Saya tidak menjangka untuk berada di tempat kedua kerana saya menjangkakan akan menamatkan perlumbaan di tempat kelima atau keenam, jadi sudah tentu ini akan memberikan semangat kepada saya,” katanya.

Sementara itu juara dunia 2019 Danielle MacKenzie menepati jangkaan apabila menguasai acara wanita selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 1’06:40.02s.

Jaguh dari New Zealand itu, yang mencatat purata kelajuan dayungan 4.5 kilometer sejam, melintasi garisan penamat dengan berada 13 minit di hadapan pemenang tempat kedua Irin Neegree dari Thailand yang menghabiskan perlumbaan dalam masa 1:19:10.58s manakala Aimi Ayuni berada rapat di tempat ketiga dengan masa 1:19:24.51s.

“Inilah cara kami berlumba di Australia dan New Zealand, laju dari awal dan mengekalkan rentak. Cabaran hari ini ialah kehadiran angin dari hadapan tetapi secara keseluruhannya saya gembira untuk hari ini,” katanya.

Dia turut memberikan sedikit panduan kepada Aimi Ayuni untuk membantunya memajukan diri dalam sukan kanu laut.

“Jangan risau tentang jurang masa, hanya teruskan usaha (berlatih untuk lebih laju). Kami telah bermula dari kecil sedangkan di sini sukan ini masih baharu. Dia ada banyak masa lagi untuk memajukan dirinya,” katanya.

Aimi Ayuni pula berkata tidak menjangka untuk mencipta kejayaan yang dilihat sesuatu yang memberangsangkan bagi peserta negara hari ini.

“Ini kali pertama saya menyertai perlumbaan seperti ini jadi saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Saya hanya mendayung tanpa memikirkan apa-apa tetapi apabila melihat saya sudah dekat dengan Irin saya jadi semakin bersemangat.

“Saya fikir kelebihan saya hari ini ialah kerana saya tidak berhenti untuk minum. Untuk perlumbaan esok, saya akan cuba meninggalkan Irin lebih awal supaya dia tidak boleh duckling atau mencuri ombak daripada saya,” katanya.

POPIC 2022, yang pertama kali dianjurkan di negara ini, akan berlangsung sebanyak lima peringkat yang mana Pantai Hiburan menjadi lokasi peringkat pertama.

Peringkat kedua esok akan berlangsung di Pantai Legenda, Pekan manakala tiga peringkat terakhir bertempat di Kuantan melibatkan Pantai Balok, Pantai Cherating dan berakhir di Pantai Teluk Cempedak.

Suara Sarawak