NIAH. Nama yang cukup besar dan gah di Sarawak.

Ini kerana di sinilah terletaknya kompleks gua, yang dipercayai pernah dihuni antara manusia terawal di negara ini.

Buktinya, di sinilah serpihan tengkorak yang dikenali sebagai “Deep Skull” dianggarkan berusia lebih 40,000 tahun ditemukan oleh Tom Harisson pada 1958.

Ia bukan satu-satunya penemuan yang menjadikan kompleks gua ini unik.

Sebaliknya ia padat dengan keunikan lain, baik dari segi geologi, arkeologi dan alam semula jadi.

Kerana itulah, apabila Kerajaan Sarawak menzahirkan hasrat untuk menjadikan kawasan taman negara ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, ia sebenarnya tepat pada masanya.

Dua agensi utama yang bertanggungjawab merealisasikan hasrat ini ialah Jabatan Muzium Sarawak (JMS) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Bagi menjayakan urusan penamaan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini, satu persidangan telah dilangsungkan di Miri, yang berakhir kelmarin.

Persidangan ini menyerlahkan kesungguhan Sarawak, dengan kebanyakan pembentang termasuk pembentang antarabangsa dan nasional, menggariskan beberapa panduan yang perlu dipatuhi dalam menyediakan ‘dossier’ ataupun dokumen yang diperlukan bagi menjayakan pencalonan penting ini.

Untuk rekod, ruang utama tapak ini tentulah Kompleks Gua Niah, yang diisytihar sebagai tapak bersejarah dan monumen penting Sarawak tepat 50 tahun lalu.

Kawasan singkapan batu kapur Gunung Subis dan pinggir Gua Niah ini sebenarnya, hanya diwartakan sebagai Taman Negara pada 1974.

Pewartaan ini bertujuan melindungi sistem gua, hutan dipterokarp tanah rendah dan bukit batu kapur. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan melindungi peninggalan prasejarah dunia yang penting di dalam gua itu.

Dari segi geografinya, gua batu kapur ini merupakan sebahagian daripada Pembentukan Tangap dari akhir fasa Oligosen ke awal fasa Miosen.

Ia melibatkan struktur berketinggian mencecah 300 meter. Kajian para pakar terhadap sisa-sisa fosil di sini kemudian merumuskan pembentukan batu kapur di sini telah mencecah usia 30 ribu tahun.

Paling menarik sebenarnya, sistem gua di sini terbentuk dengan cukup menarik, dan ada kalanya mencabar.

Akan tetapi tumpuan utama kompleks gua ini adalah khazanah arkeologinya. Hasil ekskavasi bukan sahaja menemukan serpihan tulang, bahkan pelbagai artifak lain. Antaranya tembikar, perapian, alatan batu dan cengkerang. Dari sudut pensejarahan, penemuan alat-alat dan artifak seperti ini membawa konotasi ketamadunan atau peradaban.

Penemuan “Deep Skull” adalah antara perkara penting yang mengubah kawasan ini, hingga ia menjadi antara tapak arkeologi yang penting di Asia Tenggara.

Turut ditemui lebih 200 tapak pengebumian dengan artifak zaman Neolitik, selain pengebumian manusia era Holosen Awal. Terima kasih sebenarnya kepada puluhan pengkaji yang telah menyumbang kepada penemuan-penemuan berharga ini.

Bagi menjayakan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, seperti yang dinikmati Taman Negara Mulu, urusan pembangunannya perlu dilakukan secara berhati-hati.

Malah pemilihan kontraktor juga perlu berhati-hati ketika kawasan ini dinaik taraf dengan fasiliti awam baharu, lengkap dengan kemudahan pelancong.

Seperti kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, proses naik taraf tersebut perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak UNESCO, tanpa mengakibatkan sebarang kerosakan kekal pada ekosistem taman negara berkenaan.

“Kita tidak mahu kontraktor yang dilantik tidak dapat melihat khazanah itu.

Terdapat beberapa perkara yang mereka tidak boleh lakukan, dan kita mesti memberitahu mereka bahawa projek ini dalam taman negara dan kita tidak mahu jaringan gua ini terjejas dengan cerucuk dan sebagainya,” tegasnya ketika merasmikan persidangan tersebut.

Untuk rekod, Taman Negara Niah terletak 90 kilometer dari bandar raya Miri.

Sudah semestinya, jika berjaya dalam pencalonan ini kelak, ia akan pantas menjadi tumpuan bagi para pelancong, kerana sejarah dan khazanah alamnya.

Suara Sarawak