Nisbah pembahagian kerusi antara Sarawak dan Sabah perlu dikekalkan- Abang Johari 

SIMANGGANG: Nisbah pembahagian kerusi antara Sarawak dan Sabah perlu dikekalkan jika pengembalian semula 35 peratus daripada 222 kerusi parlimen kepada kedua-dua negeri itu mendapat sokongan kelak.

Demikian tegas Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg setelah GPS secara dasar menerimanya dalam Mesyuarat Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) beberapa hari lalu.

Beliau berkata, butirannya telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), begitu juga tentang jumlah kerusi parlimen.

“GPS berpandangan bahawa jumlah kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak mesti ada 35 peratus, yang mana bagi lokasi tempat, ia terserah kepada SPR.

“Bagaimanapun SPR harus melihat nisbah sekarang. Sarawak ada 31 kerusi parlimen dan Sabah 25 kerusi parlimen…jika ditambah kerusi, SPR mesti ikut nisbah yang sama,” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2022 di sini, hari ini.

Jelas Premier Sarawak itu lagi, GPS bertegas mahu semangat MA63 terus dipertahankan.

Rasional tuntutan 35 peratus daripada 222 kerusi parlimen di seluruh negara katanya bagi mengimbangi kuasa yang ada khususnya apabila hendak menjaga semangat MA63.

Ketika ditanya adakah untutan ini boleh diguna pakai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau mengatakan ia tidak tergesa-gesa.

“Mengapa hendak tergesa-gesa? Apa yang penting prinsip kita sudah jelas selagi mereka boleh menunaikan tuntutan kita berhubung 35 kerusi parlimen.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mendengar hasrat Sabah dan Sarawak dan dapat memberikan keseimbangan dari sudut jumlah ahli parlimen,” katanya.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Penasihat di Pejabat Ketua Menteri Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis dan Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha turut hadir.

 

Suara Sarawak