KUCHING: Agensi penyelamat menamatkan operasi pencarian mangsa dilaporkan hilang ketika pandu uji jet ski di Pulau Talang Talang yang memasuki hari ketujuh, hari ini.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tiada penemuan baharu dalam pencarian mangsa, justeru Operasi Carilamat ditamatkan pada jam 4.00 petang.

Bagaimanapun, katanya, Op Carilamat akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang penemuan petunjuk baharu dan aset-aset pasukan penyelamat akan melaksanakan pencarian semasa.

“Keluasan pencarian pada hari ini seluas 87.21 batu nautika persegi dan jumlah keseluruhan keluasan pencarian sepanjang Op Carilamat seluas 855.39 batu nautika persegi yang meliputi sekitar perairan Pulau Talang, Tanjung Sipang sehingga Sempadi dan laut lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pencarian membabitkan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Sarawak Coast Guard (SCG), manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM.

Pusat Kordinasi Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching berbincang dengan keluarga mangsa berhubung status Op Carilamat.

Sementara katanya, bagi pasukan pencarian persisir pantai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan pencarian di sepanjang sekitar persisir pantai Telok Melano, Sempadi, Trombol, Sematan dan Lundu.

“Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak dan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut serta membantu dalam operasi pencarian,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau berkata, Maritim Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut bersedih diatas kejadian tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), JBPM, APM dan Sarawak Coast Guard (SCG) serta komuniti maritim terutamanya daripada Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak dan semua yang telah bertungkus lumus sepanjang tujuh hari yang telah dikordinasikan oleh Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau MERS 999.

Suara Sarawak