MULU: Operasi pencarian warga emas, Ago Deng yang hilang setelah keluar memancing di sekitar hulu sungai Kampung Batu Bungan, di sini ditangguhkan jam 6 petang, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pencarian melibatkan empat pasukan penyelamat yang terdiri daripada empat anggota pasukan MOCSAR bersama 20 orang penduduk kampung akan bersambung semula esok.

Sebelum ini, katanya, pasukan penyelamat melakukan pencarian mangsa, lelaki tempatan, 65, pada kira-kira jam 7 pagi.

“Dua pasukan melakukan pencarian di darat iaitu kawasan hutan sebelah hulu Kampung Batu Bungan dalam radius 7 kilometer (km).

Anggota MOCSAR bomba melakukan pencarian di darat.

“Manakala dua pasukan lagi mencari menggunakan perahu di Sungai Melinau, Niah dengan radius 8 km,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mangsa dikatakan telah keluar dari rumah sejak 25 Ogos yang lalu.

Pasukan melakukan pencarian di Sungai Melinau, Niah.

Suara Sarawak