Bomba meneruskan pencarian seorang anak kapal pengangkut pasir yang masih hilang di Sungai Saribas.

SARATOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan seorang lagi anak kapal yang masih hilang diteruskan hari ini pada radius kira-kira dua kilometer (km) di sepanjang Sungai Saribas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Muhd. Shukur Jamaluddin berkata, operasi yang bermula pada jam 7 pagi dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis marin.

Katanya, pasukan penyelamat turut melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

“Sehingga jam 11 pagi, pasukan penyelamat masih gagal mengesan keberadaan mangsa dan belum menjumpai sebarang petunjuk positif,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa Nicholas Julius dipercayai masih terperangkap di dalam kapal pengangkut pasir yang dilaporkan karam sebelum terbalik.

Bagaimanapun, empat lagi anak kapal berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tapak pembinaan jambatan Beladin.

Empat mangsa yang terselamat ialah Nyamin Fajar, 32, Abraham Gehinan, 21, Untung Supriyatin, 25, dan Linggang Kalamit, 51.

Suara Sarawak