KUCHING: Seorang wanita dari Selangor dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua minggu kerana memiliki wang secara tidak sah berkaitan kes penipuan jualan dalam talian.

Tertuduh Siti Maryam Mohd, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki wang secara tidak sah berjumlah RM3,000 di dalam akaunnya, di sebuah bank di bangunan Twin Tower di sini, kira-kira jam 5.13 petang, 9 Mei lalu.

Menurut fakta kes, pengadu melihat iklan di Facebook mengenai tawaran kerja sementara sebagai agen aplikasi jualan dalam talian seperti Shopee, Lazada, dan Zalora.

Pengadu yang berminat lalu berurusan dengan seorang wanita mengenai kerja terbabit yang menjanjikan keuntungan.

Semasa berurusan dengan wanita itu, pengadu diberikan pautan untuk pendaftaran dan selain diarahkan membuat pembayaran produk.

Selain itu, pengadu juga diarahkan membuat bayaran berjumlah RM3,000 ke akaun penama Siti Maryam Mohd.

Menyedari diri ditipu, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pendakwaan Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak