SIBU: Dua lelaki ditangkap kerana membeli selaras senapang patah, 12 butir peluru, kain Pua Kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban daripada seorang pencuri, yang memecah masuk sebuah rumah di Sibujaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata penangkapan kedua-dua lelaki tempatan berusia 45 dan 54 tahun itu dibuat susulan tangkapan ke atas pencuri terbabit.

“Pihak polis berjaya menjumpai dan merampas kesemua barang yang dilaporkan hilang oleh pengadu.

“Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah terbabit pada jam 10.16 malam 13 Ogos lalu, bahawa rumahnya dipecah masuk ketika mereka sekeluarga sedang bercuti di Miri.

Barang-barang yang hilang adalah selaras senapang patah jenis SBBL 12 Bore, 12 butir peluru senapang patah pelbagai jenis, Pua Kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban.

Susulan itu, Zulkipli berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu berjaya menangkap suspek, seorang lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 30 tahun.

“Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki kerana bertindak sebagai pembeli barang yang dicuri,” katanya.

Suara Sarawak