KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membeli sebuah motosikal curi dengan harga RM500 enam tahun lalu.

Tertuduh Joo Boon Sen, 54, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zaiton Anuar atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi sebuah motosikal jenama Honda milik seorang lelaki berusia 36 tahun di Taman Bergawut, Jalan Kereta Api, kira-kira jam 4.20 petang, 2 September lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah bangsal kerana dipercayai memiliki harta curi sebuah motosikal.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku telah membeli sebuah motosikal dengan harga RM500 pada tahun 2017.

Selain itu, dia juga mengetahui bahawa motosikal yang dibelinya adalah dicuri dan hasil semakan nombor casis motosikal yang dirampas sepadan dengan motosikal yang dilaporkan hilang oleh pengadu.

Pada 21 November 2017, pengadu telah membuat laporan polis mengenai motosikalnya hilang dicuri orang dalam satu kejadian bersebelahan bangunan pasar raya di Matang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak