KUCHING: Padah pukul abang menggunakan sebatang kayu penyapu hingga menyebabkan kecederaan, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, harı ini.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Ajun, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang kandungnya berusia 47 tahun menggunakan senjata iaitu sebatang penyapu berukuran 111.5 sentimeter di kediaman mereka di Kampung Pejiru, Bau, sekitar jam 11.30 pagi, 6 Jun lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut.

Menurut fakta kes, tertuduh bertindak agresif dengan membalingkan peralatan rumah ke arah jalan raya selain menganggu perjalanan kenderaan yang lalu lalang di kawasan kejadian.

Mangsa dan ahli keluarga yang lain berusaha menenangkan tertuduh namun dia bertindak menumbuk mangsa serta memukul mangsa menggunakan batang penyapu beberapa kali di bahagian belakang badan mangsa.

Disebabkan kejadian terbabit, mangsa mengalami kesakitan dan cedera ringan di bahagian badan.

Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama lebih kurang jam 4.30 petang.

Sebelum dijatuhi hukuman, tertuduh merayu agar diringankan hukuman kerana ia merupakan kesalahan pertamanya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, mengambil kira kepentingan awam dan hubungan antara tertuduh serta mangsa.

Suara Sarawak