𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆: Sarawak akan mempersembahkan mural seni jalanan terbaik yang menggabungkan unsur budaya, warisan, manusia dan alam semula jadi pada pameran MATTA Kuala Lumpur 2022.

Berlangsung pada hari ini sehingga Ahad nanti, lukisan mural dengan corak kreatif dan berwarna-warni tersebut menampilkan tema dan mesej berbeza melambangkan corak destinasi yang terdapat di Sarawak. 

Antaranya, lukisan mural dari Kuching iaitu ‘Symphony of The Tinsmith’ nukilan Leonard Siaw; mural ‘Eight Orang Utans’ oleh Lithuania Ernest Zacharevic; mural ‘Sibu delicacies’ yang memaparkan ikonik Gong Pia dan Kampua Mee Sibu di sepanjang lorong belakang berhampiran Market Road dan mural ‘Ayam dan Itik Bungkus’ di Pasar Sibu hasil lukisan Lau Sei Kwong dan Lilian Tang Siu Hui.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Komunikasi Pemasaran Bersepadu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Suriya Charles Buas, seni jalanan adalah trend yang semakin berkembang di Sarawak dengan penceritaan kisah menarik tentang rakyat, budaya, sejarah dan sebagainya.

Justeru beliau berharap dengan mempamerkan seni kreatif ini, ia akan memberi inspirasi kepada rakan-rakan di Semenanjung Malaysia untuk melawat Sarawak dan meneroka budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival Sarawak.

“Pada asasnya, ini juga mengingatkan kita betapa pentingnya mengamalkan pelancongan yang bertanggungjawab untuk kelestarian dan pemuliharaan jangka panjang bagi memelihara warisan kita,” katanya.

Menurutnya, pelancongan Sarawak kini mendapat sambutan menggalakkan semenjak pemulihan daripada Covid-19 dengan rekod sejumlah 703,891 ketibaan pelawat antara Januari dan Julai dicatatkan tahun ini.

Beliau menambah, selain daripada mengadakan pameran tentang landskap bandar Sarawak melalui mural seni jalanan, STB bersama lapan agensi pelancongan lain yang mengambil bahagian juga akan menyampaikan pelbagai pakej pelancongan yang merangkumi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival (CANFF) Sarawak untuk ditawarkan kepada para pengunjung.

Antara tarikan unik yang ditawarkan oleh pakej termasuk pengalaman budaya kampung seperti melawat rumah panjang Iban dan tinggal di salah satu daripada pelbagai rumah panjang Iban untuk merasai budaya dan tradisi masyarakat Iban.

Selain itu, tawaran mengenai penerokaan Empangan Bengoh yang dikenali sebagai ‘Taman Jurassic’ dari Kuching, pengembaraan denai makanan yang menyelerakan di Sarawak, lawatan perkampungan pesisir pantai di Bruit, Daro dan Matu, lawatan ke Taman Negara Mulu, tapak Warisan UNESCO untuk menikmati pemandangan indah gua yang mempunyai keunikan tersendiri persamaan dengan profil Abraham Lincoln dan Pinnacles yang terkenal.

Di samping itu, pengunjung yang bertandang ke gerai Sarawak juga boleh berpeluang merasai dan menikmati muzik asli Sarawak serta berpeluang menyertai sesi soal jawab untuk memenangi cenderahati edisi terhad Sarawak seperti Pepper Gift Bag, Sarawak Table Coasters dan Borneo Organic Soap. 

Pengunjung dialu-alukan untuk datang dan menerokai pakej Sarawak yang ada, di gerai Sarawak di MATTA Fair di gerai nombor 4046-4051 & 4070-4075 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Untuk maklumat lanjut mengenai Sarawak, ketahui lebih lanjut di www.sarawaktravel.com.

Suara Sarawak