SERIAN: Pameran Pendidikan dan Kerjaya anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) 2022 merupakan platform unik dalam membina jaringan di antara institusi dan awam khususnya pelajar dan guru.

Menterinya Datuk Roland Sagah Wee Inn memberitahu, menerusi inisiatif ini pihaknya telah mengetengahkan pelbagai institusi merangkumi pendidikan, kemahiran, industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Justeru katanya, ini menjadikan pameran tersebut sebagai platform besar sekali gus menjadi tempat khusus untuk memperolehi maklumat tepat mengenai kerjaya dan pendidikan yang terkini.

“Besarlah harapan saya supaya interaksi terhadap pameran ini akan membuahkan hasil positif bagi kedua-dua pihak termasuk pekerja dan juga pelajar,” katanya.

LAWAT…Datuk Roland Sagah bercakap dengan salah seorang pelajar Giat Mara Serian bersama Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin (kiri) pada perasmian Pameran Pendidikan dan Kerjaya di Tapah, Serian

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran Pendidikan dan Kerjaya MEITD 2022 di Dewan Masyarakat Tapah, di sini, hari ini.

Tambah beliau, bagi pelajar yang kian hampir menamatkan pendidikan pula, amat penting untuk mereka mengetahui haluan dan proses tertenty dalam menggapai dunia pekerjaan.

“Bagi para pelajar, mereka perlu meletakkan usaha gigih untuk menarik pekerjaan manakala pekerjaan juga sama dalam mencari pelajar atau graduasi terbaik buat mereka,” tambahnya.

Program menyaksikan kira-kira 20 Tapak Pameran (Booth) merangkumi institusi pendidikan dan kerjaya telah dibuka di lokasi tersebut.

Suara Sarawak