Pampasan takaful bantu Fiona rawat kanser

KUCHING: Tiada kata dapat diungkapkan selain syukur apabila mempunyai sumber kewangan untuk menampung kos rawatan penyakit kanser.

Fiona Wilson kini menarik nafas lega selepas menerima wang pampasan RM100,000 menerusi pelan perlindungan dan sijil takaful yang dilanggannya.

Wanita berusia 28 tahun itu disahkan menghidap penyakit leukimia pada 2021 namun berdepan isu kewangan untuk menampung kos rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Syukur kepada tuhan, ini (pampasan) sangat membantu saya apabila mendapatkan rawatan kelak.

“Ia akan saya gunakan menampung kos rawatan selain dimanfaatkan untuk kehidupan seharian,” katanya dalam majlis ringkas penyerahan pampasan di sebuah pusat beli belah di sini.

Fiona yang berasal dari Kuching dan menetap di Kota Kinabalu, Sabah perlu membuat rawatan di Hospital Ampang, Selangor.

Menurutnya, ia merupakan salah satu pengajaran dalam mempersiapkan diri untuk apa juga kemungkinan khususnya menghadapi kecemasan.

Justeru, katanya pelan perlindungan sedikit sebanyak membantu dalam berhadapan insiden yang tidak diingini dan di luar jangka.

Oleh itu, Fiona berkata perlu ada kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tabung kecemasan khas pampasan pelan perlindungan bagi membantu mengurangkan beban terutama menanggung kos rawatan dan kehidupan di saat berdepan musibah besar.

Majlis Penyerahan Mock Cheque yang turut dihadiri oleh ahli keluarga Fiona Wilson dan Agen Zurich Takaful Kuching Sarawak.

 

Suara Sarawak