KUCHING: Permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) bukan satu masalah bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya apa-apa yang berlaku pada parti bukanlah urusan GPS.

“Terpulang kepada mereka untuk gunakan apa (bendera atau logo) yang dikehendaki,” katanya bagi mengulas mengenai perkembangan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Tandatangan Perjanjian antara Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Sea Horse Corporation Sdn Bhd bagi Projek Penternakan Udang, di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah itu turut menegaskan GPS tidak lagi di bawah BN dan mampu berjalan lancar tanpa mereka.

Justeru, beliau menyifatkan keputusan GPS keluar dari BN pada 2018 sebagai satu keputusan yang baik.

“Kini, rakyat Sarawak dapat melihat kita mampu berdiri sendiri.

“Justeru, rakyat perlu berterusan memberi sokongan dan berjuang bersama-sama demi Sarawak,” katanya.

PBM dilaporkan memohon menyertai BN untuk menjadi sebahagian daripada komponen parti.

Bagaimanapun, keputusan sama ada permohonan itu diterima atau sebaliknya masih belum diputuskan oleh BN.

Suara Sarawak