KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah.

Hakim Azhahari Kamal Ramli menjatuhkan hukuman terhadap Eric Bong, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan hari ini.

Tertuduh di bawa keluar dari Mahkamah Tinggi oleh anggota JKDM di sini hari ini.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan dia didakwa memiliki dadah jenis metamphetamine seberat 751.0 gram dan ketamine seberat 407.2 gram semasa berada di sebuah stesen bas, Jalan Penrissen sekitar jam 3.45 petang pada 25 September 2019.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya JKDM Nur Atiqah Kulah manakala tertuduh diwakili dua orang peguam iaitu Osman Ibrahim dan Roger Chin.

Suara Sarawak