LUNDU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika pandu uji jet ski di perairan Pulau Talang Talang, di sini, bersambung semula hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pencarian yang ditangguhkan jam 1.30 pagi, bersambung semula pada jam 10 pagi hari ini.

Katanya, radius pencarian meliputi lebih kurang 100 batu nautika persegi melibatkan pesisir pantai dari Telok Melano sehingga Santubong dan sehingga ke perairan sempadan Indonesia.

Pasukan Penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pencarian.

“Pasukan bomba memulakan pencarian menggunakan sebuah bot dengan lima anggota bermula di kawasan pesisir Pulau Talang Talang kecil dan Pulau Talang Talang besar.

“Pencarian turut melibatkan tujuh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan dua buah bot, tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebuah bot, tujuh anggota Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) dengan sebuah bot, 11 anggota Sarawak Coast Guard (SCG) dengan dua buah bot serta tiga anggota unit udara PDRM dan sebuah helikopter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai.

Pencarian meliputi lebih kurang 100 batu nautika persegi melibatkan pesisir pantai dari Telok Melano ke Santubong, sehingga perairan sempadan Indonesia.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sematan kira-kira jam 12.20 tengah malam bagi bantuan pencarian mangsa.

Katanya, maklumat awal kejadian menyatakan dua orang lelaki telah turun ke laut dari Jeti Pak Amit, Santubong dengan menaiki dua buah jet ski menuju ke kawasan Pulau Satang sambil memancing.

Pelapor memaklumkan sepanjang ujian jet ski dijalankan, cuaca baik dan mereka berdua meneruskan perjalanan ke Telok Melano, seterusnya menuju ke arah utara, 0.3 batu bautika ke Pulau Talang Talang.

Pelapor mula menyedari rakannya tidak kelihatan setelah bergerak dari Pulau Talang Talang untuk balik semula ke jeti.

Suara Sarawak