PADAWAN: Seorang penganggur ditahan kerana disyaki mengedar dadah, dengan memiliki 75.10 gram syabu dan 32.35 gram ganja yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM9,127.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sebuah kafe di Jalan Moyan, di sini kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata dadah jenis syabu itu dianggarkan bernilai RM7,510 manakala ganja dianggarkan bernilai RM1,617.

“Suspek ditahan ketika sedang duduk di dalam kedai K9 Cafe kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Semasa tangkapan hendak dibuat, berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dadah serta rampasan lain yang dibuat daripada suspek kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Menjelas lanjut, beliau berkata dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan pergi ke kenderaan jenis Mitsubishi Lancer yang diletakkan di bahagian parkir belakang bangunan K9 Cafe.

Katanya pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah jenis syabu dan satu bungkusan kecil berisi ketulan-ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja, yang masing-masing dijumpai di dalam ‘arms rest’ kenderaan itu.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selama tiga bulan.

“Suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali di sekitar kawasan Kuching.

“Usaha diteruskan untuk mengenal pasti dan mengesan pengedar dadah terbabit,” katanya.

Abang Zainal berkata suspek didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan dipohon reman hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

Suara Sarawak