Pengawal keselamatan dipenjara rompak rokok, bir

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Stutong dengan mengambil 10 bungkus rokok berjenama, empat tin bir dan wang berjumlah RM60, Julai lalu.

Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman terhadap Zainol Julai, 26, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan dihadapannya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merompak seorang juruwang dengan mengambil barang-barang tersebut di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Stutong, sekitar jam 8.30 malam, 22 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, sekiranya sabit kesalahan.

Menurut fakta kes,pada 13 Julai pengadu telah merompak yang sedang bekerja sebagai juruwang lalu mengambil barang-barang seperti rokok jenama Dunhill 10 bungkus, empat tin bir jenama Tiger dan wang tunai RM60.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Sebelum dijatuhi hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diringankan hukuman kerana dia perlu menyara empat orang anaknya yang di bawah jagaannya.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana mengambil kira trauma yang dialami mangsa yang baru pertama kali bekerja dan Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh melakukan rompakan dengan mudah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan manakala kes disiasat Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Nancy Nawi.

 

Suara Sarawak