Gambar hiasan

MIRI: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah lot di Boulevard Garden di sini, semalam.

Suspek berusia 32 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak berwarna coklat di atas meja dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

“Polis memenuhi beberapa peket plastik disyaki dadah jenis Ekstasi di dalam kotak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah agar segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran supaya jenayah itu dapat dibenteras.

Suara Sarawak