Pengembalian 35 peratus kerusi parlimen kepada Sabah, Sarawak penuhi Perjanjian MA63

KUCHING: Perlembagaan Persekutuan mesti mewakili kepentingan semua parti dalam persekutuan dan sebarang pindaan yang sedang diluluskan di Parlimen, mesti mendapat sokongan Sarawak dan Sabah.

Demikian tegas Ketua Setiausaha Politik Premier, Fazzrudin Abdul Rahman yang mengalu-alukan pengumuman Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk mengendors pengembalian semula 35 peratus kerusi parlimen kepada Malaysia Timur.

Beliau berkata, usaha mempunyai satu pertiga perwakilan dari Sarawak dan Sabah di Parlimen Persekutuan adalah sebahagian pemenuhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dari segi perkongsian kuasa antara parti-parti yang membentuk Malaysia, ia adalah perkara penting dan perlu dilaksanakan agar Sarawak serta Sabah mempunyai suara dalam undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, ia juga penting dalam usaha kita memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan serantau selepas Singapura keluar daripada pembentukan Malaysia pada 1965,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu tambah beliau, Semenanjung Malaysia kini menguasai 75 peratus atau 166 kerusi parlimen daripada 222 iaitu lebih daripada dua pertiga.

Justeru katanya, ia mesti diubah untuk menghormati suara dan pandangan Sarawak dan Sabah di samping mengelakkan undang-undang yang merugikan negeri-negeri Borneo diluluskan.

Fazzrudin Abdul Rahman

“Ini adalah sebahagian daripada reformasi pilihan raya negara yang mesti dilaksanakan dan bagi Sarawak, ini adalah perkara yang telah kami cadangkan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memahami keperluan bahagian asal kerusi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk dipulihkan dan mengambil tindakan lanjut di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Persempadanan semula sempadan pilihan raya mesti dilakukan untuk mengembalikan lebih banyak kerusi di Sarawak dan Sabah, katanya.

“Ini kerana terdapat beberapa kawasan pilihan raya yang kurang diwakili memandangkan saiznya yang luas.

“Malah, faktor geografi dan taburan anak negeri juga mesti diambil kira kerana peruntukan kerusi tidak seharusnya diberikan disebabkan penduduk sahaja,” katanya.

MKMA63 telah mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, isu itu dibincangkan secara terperinci dan diendors pada mesyuarat kelima Majlis Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Suara Sarawak