BERCAKAP… Dr Sim menjawab soalan daripada pemberita.

KUCHING: Pengembalian semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak akan menjadi panduan selamat (safeguard) kepada kedua-dua negeri ini.

Ini kerana apabila Perlembagaan Persekutuan perlu diubah terutama melibatkan Sabah dan Sarawak, mana-mana parti politik di Semenanjung Malaysia tidak boleh mengubahnya sesuka hati untuk selama-lamanya.

Demikian kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sambil berharap supaya semua parti politik di Semenanjung Malaysia menyokong usaha tersebut.

Menurutnya, usaha tersebut penting kerana ia dapat memberikan semula hak yang terhakis kepada Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sehubungan itu, jika mereka benar-benar menghormati semangat Pembentukan Malaysia dan MA63 dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), mereka harus menyokong kita, dan pastikan ia diluluskan di Parlimen,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Kuih Bulan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Kuching Park Garden di sini, malam tadi.

Selain itu kata Dr Sim, usaha tersebut adalah sebahagian usaha susulan Sarawak yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di peringkat Parlimen.

Dalam pada itu katanya, masih banyak perkara harus diperjuangkan terutama melibatkan autonomi kesihatan, autonomi pendidikan dan sebagainya.

“Pengumuman Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) mengendors pengembalian semula 35 peratus kerusi Parlimen semalam (Khamis) juga masih perlu dibentangkan di Kabinet dan Parlimen.

“Ia tidak boleh dilaksanakan secara automatik justeru, diharapkan usaha tersebut mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Pada 8 September lalu, MKMA63 telah mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Isu tersebut telah dibincangkan secara terperinci dan diendors pada mesyuarat kelima Majlis Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Suara Sarawak