KUCHING: Sarawak merekodkan kadar kemasukan semula banduan ke penjara atau residivis paling rendah di Malaysia, malah termasuk di seluruh dunia sejak tahun 2008.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kadar residivis di negeri ini adalah pada angka 98 orang daripada 100,000 penduduk pada tahun ini.

“Ia sebenarnya bukan hanya direkodkan pada tahun ini. Untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, Sarawak hanya merekodkan sebanyak 98 orang, berbanding dunia yang mencatatkan kadar residivis seramai 228 orang daripada 100,000 populasi.

Fatimah merakam kenangan bersama-sama Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Mohd Andri Md Ridzwan selepas kunjungan hormat di Kuching, hari ini.

“Ini adalah satu fakta yang sangat menarik dan membanggakan. Bermakna Sarawak mencatatkan residivis terendah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Penjara Sarawak yang baharu, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Mohd Andri Md Ridzwan di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, hari ini.

Menurutnya, kadar residivis itu dicatatkan sejak sistem parol dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia (JPBM) pada 2008 yang membuka peluang kedua untuk banduan memulakan hidup baharu bersama keluarga mereka serta masyarakat.

Untuk rekod, Penjara Sarawak turut merekodkan pencapaian yang baik dari segi kadar jenayah berulang dilakukan bekas banduan iaitu bawah 0.3 peratus berbanding purata kadar 13.86 peratus di Jabatan Penjara.

Suara Sarawak