BINTULU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan daging ayam di Kilometer 22, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, pagi tadi.

Mangsa, yang menunggang motosikal jenis Honda itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Bartholomew Umpit berkata, siasatan awal mendapati motosikal dari arah Bintulu ke Tatau itu bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan lori membawa muatan daging ayam di Kilometer 22 Jalan Bintulu- Tatau, pagi tadi.

Ketika kejadian, katanya, lori berkenaan dari arah arah Sibu menghala ke Bintulu .

“Impak daripada kemalangan itu, motosikal terbabit terseret memandangkan jarak pertembungan yang terlalu dekat.

“Bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Jeffery anak Jembol di talian 010-9007791 atau Balai Polis Trafik Bintulu (086-338575).

“PDRM menasihati orang ramai agar tidak membuat kenyataan yang mengelirukan di media masa yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” tegasnya.

Suara Sarawak