KUCHING: Usahawan di negeri ini dialu-alukan untuk menyertai Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 kali ke-6 yang penyertaannya kini dibuka sehingga 14 Oktober depan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Tengah Ali Hasan berkata, majlis anugerah tersebut akan berlangsung pada 11 November 2022 bertempat di Hotel Riverside Majestic, di sini, serta bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Objektif AUBS adalah untuk melahirkan usahawan bumiputera yang berjaya, mengiktiraf mereka yang cemerlang melalui ciri keusahawanan jati, kreatif, inovatif dan komited serta mengenal pasti mereka yang benar-benar cemerlang untuk dijadikan model mahupun usahawan yang lain,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama yang lain pada sidang media Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2022 di Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang, Anugerah Usahawan Berjaya dan Anugerah Usahawan Harapan.

“Anugerah Usahawan Berjaya dibahagikan kepada empat subkategori iaitu sektor pembangunan/ hartanah, sektor Industri Kecil Sederhana/ Perusahaan Kecil Sederhana (pengilangan), sektor agro/aqua/ bio dan sektor perkhidmatan (pelancongan, pengangkutan, profesional, makanan & minuman, bisnes dalam talian).

“Sementara Anugerah Usahawan Harapan terbahagi kepada tiga subkategori iaitu wanita (45 tahun ke bawah), lelaki (45 tahun ke bawah) dan Anugerah Usahawan Belia (18 hingga 30 Tahun).

“Antara syarat penyertaan utama adalah semua perniagaan tersebut mestilah sudah diusahakan sekurang-kurangnya tiga tahun,” jelasnya sambil memberitahu para pemenang akan menerima trofi beserta sijil.

Maklumat lanjut serta penghantaran borang boleh dilakukan dengan menghubungi MINTRED di Tingkat 2, 12 dan 13, Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, talian 082-313212 atau Pusat Khidmat DUBS, Jalan Petanak di talian 082-233133/ 082-247166 atau e-mel: dubssarawak@gmail.com.

Borang penyertaan boleh didapati menerusi www.dubs.my.

Hadir sama Penasihat MINTRED Datuk Naroden Majais dan Presiden DUBS Datuk Abang Helmi Ikhwan.

Suara Sarawak