Perangi rasuah habis-habisan

DALAM tempoh seminggu ini, negara kita kecoh dengan kes rasuah membabitkan bekas pemimpin tertinggi negara, termasuk isterinya. 

Jumlah wang yang terlibat bukan sedikit. 

Masing-masing telah dijatuhkan hukuman oleh badan kehakiman negara. 

Antaranya Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.  

Manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi. 

Ia membabitkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. 

Ketegasan keputusan oleh badan kehakiman negara itu amat perlu sebagai permulaan penting kepada usaha memerangi rasuah. 

Walaupun ia hanya permulaan kecil jika dibandingkan dengan tahap serius kanser najis korupsi yang melanda negara ini.  

Namun ia perlu diteruskan walaupun bakal berdepan pelbagai cabaran kerana rasuah seolah-olah menjadi budaya hidup golongan tertentu di negara ini, terutama mereka yang mempunyai kuasa.  

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mensabitkan Rosmah dengan pertuduhan rasuah, kes sedemikian sudah meresapi hampir setiap lapisan masyarakat dan perlu dibendung sebelum menjadi pandemik.  

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Mohamed Zaini berkata, jika rasuah dibiarkan tanpa sebarang kekangan, masyarakat di negara ini akan menerimanya sebagai satu kebiasaan dalam hidup atau dunia perniagaan.  

“Saya telah mengambil kira faktor rayuan yang dikemukakan oleh peguam yang bijaksana serta respons pihak pendakwaan. 

Pertimbangan utama dalam memutuskan hukuman yang sesuai adalah kepentingan awam.  

“Hukuman harus menggambarkan rasa tidak senang atau jijik terhadap jenayah itu. 

Hukuman juga mestilah mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Ia juga hendaklah menjadi faktor pencegah kepada tertuduh dan orang lain daripada melakukan jenayah seperti ini,” katanya.  

Sebenarnya pada zaman moden ini, tiada negara yang terkecuali daripada masalah rasuah. 

Ia boleh dianggap sebagai ‘penyakit kanser’ serius yang menular dalam masyarakat. 

Pelbagai faktor penyebab diketengahkan oleh pelbagai pihak mengenai isu ini. 

Antaranya masalah kenaikan kos sara hidup, gaji yang diterima tidak setimpal dengan keadaan persekitaran ekonomi semasa serta masalah kelembapan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia sehingga menyebabkan ramai pihak terpaksa mengambil jalan mudah dengan terbabit dalam rasuah.  

Kebanyakan rasuah berpunca daripada individu itu sendiri. 

Kelemahan sahsiah peribadi adalah masalah yang sukar untuk ditangani. 

Kelemahan sifat peribadi ini berlaku disebabkan kurangnya iman serta jati diri dalam diri individu terbabit.  

Sesetengah individu yang bersikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mengambil jalan mudah dengan menerima suapan kerana mereka sudah kehilangan sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri sendiri. 

Selain kelemahan sifat peribadi, kekurangan pegangan serta didikan agama juga akan menyebabkan timbulnya masalah rasuah.  

Justeru, untuk mengembalikan erti sebenar kebebasan dan kemerdekaan, semua rakyat Malaysia harus mempunyai kesedaran hati untuk memenuhi dan mencapai standard tertinggi sebuah negara berdasarkan kedaulatan undang-undang.  

Usaha membasmi masalah rasuah boleh diambil dengan langkah komprehensif yang meliputi semua sudut. 

Antaranya dengan menguatkuatkuasakan undang-undang dan hukuman yang berkaitan dengan isu rasuah seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), Kanun Keseksaan (Akta 574), dan lain-lain lagi.  

Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan jenayah rasuah serta dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.  

Dalam masa yang sama, pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah perlu disemai dalam kalangan murid. 

Generasi muda yang dididik agar membenci gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah ketika menjalankan tugas mereka apabila dewasa kelak. 

Pendedahan awal mengenai gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan berkaitan. Para penjawat awam di Malaysia juga harus diberi amaran tentang jenayah rasuah kejam dan akibatnya yang besar di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi. 

Rasuah bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. 

Ia boleh memusnahkan seluruh negara dan seluruh dunia.

Suara Sarawak