πŠπ”π‚π‡πˆππ†: Syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang membeli petrol dan diesel 20 liter ke atas perlu memohon permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permohonan boleh dibuat melalui sistem Mysubsidi Permit Khas atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

Katanya, permohonan Permit Khas tersebut hanya diperlukan dibuat sekali untuk jangka masa satu tahun dan bukannya untuk setiap pembelian.

β€œPermit khas ini adalah percuma dan tidak dikenakan apa-apa bayaran serta terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan.

β€œMana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Malaysia Azman Adam dan Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak Peter J Berinus Agang.

Nanta menambah, antara pihak yang telah mendapat permit khas daripada pihak Kementerian adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan.

Selain itu, katanya, penduduk di kawasan pendalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa (bukan pemegang kad e-nelayan) antara yang telah mendapat permit khas tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan permit khas baharu yang lengkap akan diproses dalam masa lima hari bekerja dari tarikh penerimaan permohonan.

Manakala katanya, permohonan pembaharuan atau penyambungan semula akan mengambil masa tiga hari bekerja.

Jelasnya, mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui permit khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang telah diluluskan.

Bermula Januari hingga 31 Ogos, KPDNHEP telah mengeluarkan 10,048 permit khas terbabit.

Suara Sarawak