Dr Sim meraikan Pesta Tanglung anjuran SUPP Cawangan Satok di Tebingan Sungai Sarawak, di Kuching, pada malam tadi.

 

KUCHING: Festival Kuih Bulan bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat majmuk di negeri ini.

Kemeriahan festival tersebut dilengkapkan dengan Pesta Tanglung yang bukan hanya disambut oleh masyarakat Cina, tetapi turut diraikan oleh pelbagai kaum lain.

Bagi merancakkan lagi perayaan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Satok mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Tanglung dengan mengajak orang ramai tanpa mengira latar belakang meraikannya.

Sejumlah 500 set tanglung serta kuih bulan diagihkan secara percuma kepada pengunjung di Tebingan Sungai Kuching pada malam tadi.

Pengerusi SUPP Cawangan Satok, Goh Leng Yeu berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkenaan bagi membawa kegembiraan kepada komuniti dalam menyambut perayaan tersebut.

“Pihak kami menganjurkan acara ini setiap tahun. Walaupun ia adalah perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina, kami ingin berkongsi kegembiraan dengan semua orang di negeri ini tanpa mengira etnik,” katanya ketika ditemui pemberita pelancaran sambutan.

Beliau menambah sempena sambutan itu, pihaknya turut menggantung pelbagai tanglung pada pokok di sepanjang Jalan Rambutan serta Jalan Nanas Road Barat di Satok.

Dalam majlis itu, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan tarian naga sebagai pelengkap sambutan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan turut hadir sama.

Suara Sarawak