BAU: Taman Geo Delta Sarawak yang merangkumi Daerah Bau berupaya mempromosikan lagi keunikan budaya dan landskap semula jadi kawasan tersebut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kawasan yang diiktiraf itu juga mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

Di samping, katanya, ia mengukuhkan lagi pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

“Justeru, Pesta Tasik Biru 2022 harus dijadikan platform untuk mempromosikan keunikan yang terdapat di sini.

Awang Tengah merasmikan Pesta Tasik Biru 2022.

“Dalam masa yang sama menyemarakkan lagi semangat bersatu padu serta memperluaskan peluang masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sosial untuk memajukan diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Tasik Biru 2022 dan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Dun Tasik Biru, di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Pelaburan memberitahu, penglibatan pihak swasta juga penting dalam mempercepatkan pembangunan sesuatu kawasan.

Beliau berkata, kerjasama tersebut dapat memperluaskan rangkaian infrastruktur dan menyediakan fasiliti yang diperlukan.

Awang Tengah bersama isteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud bersama yang lain berjalan-jalan di sekitar Tasik Biru.

“Saya percaya dengan kerjasama ini, Bau akan berubah. Kita dapat lihat perancangan pembangunan dan perubahan landskap di sekitar Tasik Biru ini,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Suara Sarawak