SIMUNJAN: Polis menafikan kes culik kanak-kanak di Kampung Sungai Ladong yang tular di laman media sosial, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan Asisten Superintendan Honchin Ludu, menegaskan kejadian tersebut sebenarnya merupakan gambar dan video membabitkan kes pecah rumah sarang burung yang berlaku pada Selasa (27 September).

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan mengesan beberapa hantaran yang menyatakan berlaku kes culik budak di Kampung Sungai Ladong, Sebuyau.

TULAR…Gambar tular menunjukkan seorang lelaki ditangkap oleh para penduduk kampung.

“Polis menafikan kenyataan ini dan menyifatkannya sebagai tidak berasas kerana gambar dan video ditularkan adalah kes pecah rumah sarang burung,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan membabitkan kes pecah rumah dan curi.

Pada masa sama, beliau mendedahkan dua suspek disyaki terlibat kes tersebut telah berjaya ditangkap.

Beliau mengingatkan, orang ramai agar mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan media atau berita palsu.

Suara Sarawak