Polis nafi kes kejadian culik pelajar sekolah

PADAWAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menafikan berlaku kejadian culik membabitkan seorang pelajar tahun satu sebuah sekolah, Batu 10 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut tidak berasas kerana tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Pihak polis khususnya IPD Padawan telah mengesan beberapa hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial khususnya laman Facebook menyatakan seorang murid tahun satu hampir menjadi mangsa kes culik.

“Malahan guru besar di sekolah tersebut telah dihubungi dan turut menafikan bahawa beliau ada memberikan maklumat berkenaan dengan kes yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zainal mengingatkan orang ramai agar mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Sebarang kenyataan yang disiarkan tanpa pengesahan serta bukti yang sahih boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

 

 

Suara Sarawak