KUCHING: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes cubaan culik membabit seorang murid sebuah sekolah rendah di Batu 10 yang tular di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya hanya mengesan satu hantaran berhubung kejadian yang dimuat naik dalam media sosial.

Katanya, guru besar sekolah terbabit telah membuat laporan pada 26 September lalu untuk menafikan insiden tersebut.

“Satu hantaran kita kesan di Padawan mengatakan seorang budak di culik tetapi ia sebenarnya tidak berlaku.

“Kita telah membuka kertas siasatan ke atas admin yang membuat hantaran itu,” katanya pada sidang media Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Mohd Azman berkata, kertas kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/ Seksyen 233 Akta Komunikasi Media 1998 dibuka ke atas pentadbir media sosial yang memuat naik hantaran tersebut.

Beliau dalam pada itu berkata, Polis Diraja Malaysia juga akan meningkatkan rondaan unit kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sekitar kawasan sekolah.

Tambahnya, pengetua dan cikgu sekolah boleh memberi maklumat sekiranya terdapt kenderaan di sekitar sekolah yang mencurigakan.

Sementara beliau menasihatkan rakyat Sarawak khususnya supaya tidak menyebarkan berita tidak benar di media sosial.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras keatas mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar/ tepat yang boleh menggugat ketenteraman awam dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

Suara Sarawak