KUCHING: Pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes seorang lelaki tempatan yang ditemui terbaring tidak sedarkan diri di Jalan Stutong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima makluman dari Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) berhubung penemuan mangsa, 25, yang meninggal dunia kira-kira jam 8.20 pagi.

Katanya, mangsa yang dibawa ke HUS disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahsmon meminta orang ramai tidak menyebarkan dan berkongsi maklumat tidak sahih yang berbentuk spekulasi video atau gambar bagi menghormati privasi keluarga mangsa.

“Penyebaran maklumat yang tidak benar di media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Beliau berkata, sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan terus kepada pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Suara Sarawak