ASAJAYA: Lebih 1,000 pengunjung termasuk peserta dan penduduk Asajaya berkunjung ke Kompleks Sukan Asajaya hari ini bagi meraikan program ‘Nang Rindok Citra Hari Malaysia Asajaya 2022.

Program yang dianjurkan sempena Hari Malaysia, Hari Sarawak dan Hari Kebangsaan itu julung kali diadakan di Asajaya sekali gus menyaksikan sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.

Bermula dengan perarakan konvoi bermotor diketuai sendiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama lebih 100 peserta seawal jam 11 pagi.

“Sambutan gabungan tiga hari bersejarah Malaysia kali ini jelas menyuntik semangat keharmonian dalam kalangan penduduk berbilang bangsa.

“Apa yang kita dapat lihat hari ini adalah penglibatan pelbagai komuniti termasuk kanak-kanak, belia, warga emas termasuk veteran tentera.

“Ia jelas membuktikan masyarakat di sini dapat hidup aman damai tanpa masalah kecurigaan antara satu sama lain,” katanya.

Karim yang juga Adun Asajaaya berkata demikian ketika berucap pada majlis sekali gus merasmikan pelancaran program terbabit yang berlangsung selama dua hari di kompleks berkenaan bermula hari ini.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan perarakan sebanyak 20 wakil dari setiap kampung terdiri daripada Kampung Moyan Ledang, Sebandi Matang, Sebandi Ulu, Asajaya Laut, Asajaya Tengah, Sambir, Tambirat Lot, Asajaya Tengah, Asajaya Ulu, Sampun Kelili, Tambirat Tradisi, Beliong, Sri Tajo, Sampun Tebun, Tanjung Apong, dan Tambey dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Turut hadir, Datin Zuraini Abd Jabbar, Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, dan Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat.

SEMANGAT…Datuk Seri Abdul Karim Rahman (tengah) bersama-sama peserta konvoi dan perarakan program Nang Rindok Citra Hari Malaysia 2022 di pekarangan Kompleks Sukan Asajaya. 

 

KREATIF…Datuk Seri Abdul Karim Rahman (kanan) mengunjungi pameran basikal yang dihiasi bertemakan Hari Malaysia.

Suara Sarawak