Adlin Baizura Ariffin

KUCHING: Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri.

Namun bagaimana ia berfungsi dalam menjadi pemangkin kepada penjanaan pendapatan.

Sudah tentu dengan menarik kemasukan atau kehadiran pengunjung menerusi pelbagai produk pelancongan yang boleh ditawarkan.

Selain tempat-tempat menarik untuk dilawati, penganjuran acara juga turut memainkan peranan penting terhadap kehadiran pengunjung.

Misalnya di Sarawak, program bersifat pelancongan acara seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Festival Jazz Borneo, Regata Sarawak, malah Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) antara penyumbang kepada kemasukan pengunjung tempatan dan luar negara.

Untuk itu, ia secara tidak langsung memberi kesan pertumbuhan ekonomi menerusi penganjuran acara berimpak tinggi tidak kira ia berskala kecil mahupun besar.

Keberhasilan penganjuran itu kata Pensyarah Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Adlin Baizura Ariffin ia bergantung kepada tujuan dan objektif sesuatu acara untuk diadakan.

“Pelancongan acara merupakan satu perancangan, pembangunan dan pemasaran yang sistematik untuk menarik pelancongan atau pengunjung ke sesebuah destinasi atau tempat.

“Malah ia memberi impak positif kepada negara dan komuniti dari segi pembangunan pelancongan, peningkatan taraf hidup penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan hasil dari pertukaran mata wang asing,” katanya pada Bengkel Pengurusan Acara di Hotel UCSI di sini baru-baru ini.

Bengkel satu hari itu diadakan dengan kerjasama antara Suara Sarawak, New Sarawak Tribune dan Universiti UCSI Kampus Sarawak.

Dalam memastikan ia berjalan lancar dan teratur, perlunya perancangan awal serta persediaan rapi sebelum dilaksanakan.

Faktor kebolehlaksanaan dan sumbangan idea amat penting dalam usaha menganjurkan sesuatu acara.

Pelbagai perkara perlu di ambil kira termasuk lokasi, tenaga kerja, sumber kewangan, makanan dan minuman, pihak berkepentingan, logistik dan sebagainya.

Bercakap mengenai konsep kata Adlin, tujuan dan objektif penganjuran menjadi tunjang utama yang mengkhususkan kepada skop acara.

“Dari sudut pelancongan, tujuan sesuatu acara diadakan adalah untuk menunjukkan budaya tempatan kepada pelancong selain mempromosikan dan meningkatkan reputasi Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dari segi perancangan pemasaran, beberapa aspek harus diteliti termasuk program atau aktiviti yang akan dianjurkan dalam acara tersebut.

Untuk menarik kehadiran pengunjung, pemilihan aktiviti yang tepat sangat membantu dalam keberhasilan sesuatu acara, termasuk nilai sentimental serta impak kepada rakyat secara holistik.

Apa yang penting, program yang diadakan haruslah menarik dan bermanfaat, sekali gus akan menjadi ‘umpan’ kepada komuniti untuk berkunjung ke lokasi acara berkenaan.

Suara Sarawak