Rintangan jadikan Wellyes Cheluday cemerlang

KOTA SAMARAHAN: Berdepan pelbagai rintangan ketika menuntut ilmu di menara gading bukan penghalang bagi Wellyes Cheluday, 23, memperoleh kejayaan sekali gus dinobatkan Anugerah Naib Canselor semasa Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Ke-94.

CERIA…Sekitar ragam antara 998 orang siswazah bersama-sama ibu bapa dan ahli keluarga mereka semasa Majlis Konvokesyen Ke-94 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak di Kota Samarahan, hari ini.

Wellyes yang merupakan siswazah Diploma Pengajian Perniagaan dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, berkata cabaran besar yang pernah dihadapinya ialah apabila kehilangan semua tugasan universiti akibat kejadian bot karam pada Jun 2020 di kawasan Oya.

“Saya kehilangan semua barang saya termasuklah telefon bimbit, dompet dan tugasan saya yang telah dilakukan dengan penuh usaha,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-94 UiTM Sarawak di sini, hari ini.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu yang bapanya bekerja di salah sebuah syarikat minyak dan gas manakala ibunya suri rumah, kejadian itu memberi tekanan kepadanya namun demi masa depan yang lebih baik, dia tabah menghadapinya.

“Semua tugasan yang hilang perlu dimulakan semula kerana pensyarah tidak menerima alasan saya,” katanya yang pada ketika itu juga bekerja sambilan sebagai juruwang di sebuah kedai di Sibu.

Justeru, anak kelahiran Kanowit itu bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian walaupun menghadapi banyak rintangan.

Suara Sarawak