DIBERI bantuan salah. Tidak diberikan bantuan juga salah.

Peliknya, ada yang merungut setelah menerima bantuan, apatah lagi jika tidak diberikan bantuan.

Makin banyak rungutan.

Aduan pula tidak kurang banyaknya.

Rungutan ini biasanya dilontarkan di media sosial — paling banyak di Facebook.

Macam-macam yang menjadi rungutan. Bantuan tidak telus, tidak sampai kepada golongan sasar dan dikatakan tidak semua orang menikmati bantuan itu.

Hal ini dapat dilihat apabila banyak pemilik akaun Facebook membuat hantaran tentang bil elektrik naik.

“Betul ka sik tok? Bil elektrik kitak orang cam ni? Nait sik? Diskaun dah abis ka?” Ini antara yang dikongsikan di Facebook, yang kemudian dikongsikan oleh orang lain.

Masing-masing mula mengambil bil elektrik terkini dan bulan sebelumnya.

Bahagian yang memaparkan jumlah bayaran bulanan dibulatkan dengan warna merah. Ini termasuk bil sebelumnya yang memaparkan diskaun daripada Kerajaan Sarawak melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0.

Mereka yang tidak tahu hujung pangkal hal ini, terus berkongsi hantaran itu kepada orang lain.

Macam-macam catatan ditinggalkan pada ruangan komen. Ada yang menyokong hantaran itu, dan ada juga yang cuba memberikan penjelasan.

Biasanya tidak diendahkan.

Beberapa hari kemudian, Kerajaan Sarawak melalui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pelaksanaan BKSS 9.0 yang berjumlah hampir RM1 bilion untuk tempoh Julai lepas hingga Disember depan.

Daripada lima pakej dalam BKSS 9.0 ini, kerajaan turut memperkenalkan satu pakej baharu iaitu bahan binaan tambahan di bawah peruntukan untuk variasi harga (VOP) 2.0.

Empat pakej sedia ada dikekalkan iaitu diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun taksiran cukai pintu dan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai.

Bagi diskaun bil elektrik, inisiatif dengan kos keseluruhan sebanyak RM201.76 juta ini akan meneruskan diskaun lima sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan pengguna.

Inisiatif ini memberikan manfaat kepada 685,000 pemegang akaun di seluruh negeri, antaranya pengguna domestik, komersial dan industri termasuk pengusaha dan peruncit makanan.

Begitu juga diskaun bil air bulanan antara 10 hingga 25 peratus untuk pengguna domestik, komersial dan industri.

Juga bagi tempoh yang sama. Kos keseluruhan RM35.34 juta akan memberi manfaat kepada lebih 685,000 pemegang akaun, juga di seluruh Bumi Kenyalang.

Turut disediakan, diskaun taksiran kadar cukai pintu tahunan 25 peratus melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah.

Usah lihat bantuan lain! Tiga pakej di atas — diskaun bil elektrik, air dan cukai pintu sebenarnya akan dinikmati oleh semua orang.

Bukan untuk satu atau dua kumpulan masyarakat, sebaliknya semua penduduk di negeri ini menerima diskaun tersebut.

Sama ada anda tinggal di bandar atau kampung, diskaun itu akan terpapar pada bil bulanan anda.

Tiada seorang pun akan terkecuali. Perlukah merungut?

Jadi, perlukah merungut dengan bantuan tersebut?

Benarkah ia tidak menyeluruh seperti sering dikatakan di media sosial?

Apa sebenarnya yang dinginkan agar tiada rungutan demi rungutan atau aduan demi aduan dikemukakan?

Sekurang-kurangnya bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada ketua isi rumah.

Bayangkan jumlah duit yang dapat disimpan dalam tempoh enam bulan ini hasil diskaun tersebut.

Dengan anggaran kasar diskaun sebanyak RM30 untuk bil bulanan (berdasarkan jumlah bil bulanan), bermakna wang itu dapat digunakan untuk membeli keperluan lain.

RM30 jika didarab dengan enam bulan, jumlahnya RM180.

Itu belum ditambah dengan diskaun bil air.

Sekurangnya-kurangnya tambahan sekitar RM30 itu akan memastikan ada makanan di atas meja untuk keluarga.

Begitu juga dengan peniaga. Kadar diskaun untuk sewa gerai akan membantu peniaga menyimpan duit hasil diskaun itu.

Setidak-tidaknya duit diskaun itu dapat digunakan untuk menambah barang jualan.

Jika modal bertambah, bermakna hasil jualan akan bertambah.

Seterusnya pendapatan juga akan meningkat. Ini amat diperlukan memandangkan ramai orang di sekeliling kita kini berpeluh berjuang memperbaiki ekonomi keluarga.

Jadi, jangan suka merungut. Ikhlas terima bantuan yang diberikan.

Sekurang-kurangnya ada bantuan untuk mengurangkan sedikit beban yang ditanggung, lebih-lebih lagi dalam tempoh negara sedang berdepan dengan kenaikan kadar inflasi sekarang ini.

Bantuan ini mungkin sebagai senjata bagi membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kesusahan hidup selepas dunia diserang virus Covid-19 — bukan sahaja meragut banyak nyawa, tetapi meninggalkan kesan hebat terhadap ekonomi kita yang masih hidup ini.

Pengumuman Perdana Menteri Rungutan juga kedengaran ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita baik untuk penjawat awam.

Tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 yang akan dibayar mulai Januari 2023 — seramai 1.28 juta penjawat awam terlibat.

Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

Ada dalam kalangan penjawat awam mengatakan jumlah yang diberikan tidak mencukupi — dikatakan pula tidak mengenang jasa penjawat awam.

Malah ada yang menyifatkan pengumuman itu sebagai gula-gula pilihan raya umum.

Sedarlah, dalam keadaan ekonomi sekarang ditambah dengan kadar inflasi naik, ada pekerja yang tidak menerima kenaikan gaji.

Malah ada yang terlibat dengan pemotongan gaji.

Sektor swasta termasuk kedai-kedai tidak dapat memberikan kenaikan gaji kepada pekerja disebabkan keuntungan mungkin berkurangan selain dalam proses memulihkan perniagaan.

Seorang ustaz dalam kuliah agama ada menerangkan:

“Untuk melihat kita bersyukur atau tidak, jangan lihat orang di atas kita (yang berjaya, kaya) tetapi lihatlah orang di bawah kita (gaji kecil, tidak bekerja).”

Jelasnya lagi: “Jika sebaliknya, anda sebenarnya bukan orang bersyukur!”

Suara Sarawak