KUCHING: Cuaca redup di Kampung Budaya Sarawak sama sekali tidak mematahkan semangat para pengunjung yang hadir ke Festival Muzik Borneo Live 2022.

Seawal jam 1 petang, kira-kira ribuan pengunjung terdiri daripada warga tempatan dan asing mula membanjiri pekarangan tapak festival tersebut.

Dua beradik dari Kuala Lumpur, Jolin Khoo dan Joey Khoo, 23 dan 20 tahun tiba di Kuching sejak pagi semalam nyata teruja dan tidak sabar menyaksikan persembahan dua DJ terkemuka iaitu DJ Alan Walker dan DJ Soda.

TERUJA….Jolin Khoo dan Joey Khoo datang dari Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan DJ Alan Walker dan DJ Soda.

Malah mereka yang kali pertama tiba di negeri ini terpesona dengan keindahan suasana Kampung Budaya Sarawak yang dikeliling hutan dan rumah tradisional pelbagai etnik.

“Persekitaran di sini cukup cantik dan menarik. Kami berasa sangat dialu-alukan, rasa seperti di rumah,”katanya kepada Suara Sarawak.

Sementara, bagi pengunjung dari Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Rico berkata, festival tersebut adalah yang dinanti-nantikan setelah ditangguh akibat pandemik Covid-19.

Rico dari Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia menempuh perjalanan lapan ke sembilan jam ke Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Menurutnya, dia dan rakan menempuh perjalanan lapan ke sembilan jam untuk sampai ke sini semata-mata untuk menyaksikan DJ Alan Walker dan DJ Soda.

“Kami tidak tidur semalaman kerana festival ini. Diharap ia dapat memberi kepuasan seperti apa yang kami bayangkan,” ujarnya.

Festival Muzik Borneo Live 2022 yang julung kali diadakan itu menampilkan barisan artis dan DJ terkenal dari enam buah negara di seluruh dunia, selain menyatukan pelbagai genre muzik yang berbeza di bawah satu platform.

MERIAH…DJ Paul membuka tirai Festival Muzik Borneo 2022.

Turut menampilkan DJ Alexis Grace, DJ Ice Cream, DJ Chaca, DJ MYVAX , DJ Paul dan MC Vibe (Malaysia); Nicole Chen (Singapura), DJ X Factor (Filipina), DJ Venom C dan Moski Love (Indonesia), termasuk bintang Sarawak At Adau, Tuku Kame and Buloh Berkocak.

Suara Sarawak